Orang ramai beratur di luar pintu masuk perkarangan WTCKL untuk menerima vaksin AstraZeneca, hari ini. FOTO Aziah Azmee
Orang ramai beratur di luar pintu masuk perkarangan WTCKL untuk menerima vaksin AstraZeneca, hari ini. FOTO Aziah Azmee
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Tindakan segelintir penerima vaksin datang awal sebelum waktu janji temu ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), menyebabkan berlaku kesesakan di lokasi itu, hari ini.

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam satu kenyataan berkata, hari ini PPV berkenaan memulakan proses vaksinasi secara besar-besaran dengan jumlah janji temu sebanyak 8,100 untuk tempoh masa 9 pagi sehingga 9 malam.

Kenyataan itu menyebut, pihaknya maklum dengan keadaan sesak yang berlaku hari ini apabila PPV itu kembali beroperasi selepas cuti Aidilfitri.

"Keadaan sesak ini berlaku apabila terdapat ramai yang diberi janji temu tiba ke WTCKL lebih awal daripada slot masa yang ditetapkan untuk mereka.

"Sebagai contoh, individu dengan janji temu pada 6 petang tiba seawal 2 petang.

"Terdapat juga ramai individu yang tidak mempunyai janji temu 'mencuba nasib' untuk mendapatkan vaksin secara walk-in yang turut menambah kesesakan sedia ada," katanya.

Justeru, CITF berkata, sebagai langkah berjaga-jaga untuk keselamatan dan keselesaan selain mengambil kira penularan Covid-19 yang membimbangkan ketika ini, pihaknya meminta orang ramai untuk tidak tiba terlalu awal daripada slot masa janji temu yang ditentukan sebaliknya hanya tiba di PPV itu antara 15 hingga 30 minit awal dari masa ditetapkan.

Mereka diminta untuk tidak tiba lebih awal daripada 30 minit bagi mengelakkan kesesakan.

Penerima vaksin juga diminta mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa serta petugas dan pastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) diri.

Mereka juga diminta bersabar dan sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal serta memakai pelitup muka sepanjang proses vaksinasi.

"Sila beredar daripada perkarangan WTCKL sejurus selepas menerima vaksin dan elakkan berada di kawasan PPV terutamanya di kawasan lobi bagi mengelakkan kesesakan.

"Pihak CITF ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama semua pihak dan memohon maaf atas kesulitan yang berlaku hari ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 7:10 PM