PETUGAS kesihatan dari Pejabat Kesihatan Sabak Bernam melakukan persediaan untuk suntikan vaksin Pfizer kepada golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU). FOTO Aizuddin Saad.
PETUGAS kesihatan dari Pejabat Kesihatan Sabak Bernam melakukan persediaan untuk suntikan vaksin Pfizer kepada golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU). FOTO Aizuddin Saad.
BERNAMA

Putrajaya: Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini menjelaskan tarikh pelaksanaan dan maklumat lanjut berhubung kaedah vaksinasi 'walk-in ' atau jumpa terus untuk warga emas di Lembah Klang akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, CITF menasihati mereka yang berusia 60 tahun ke atas bersama pengiring yang tidak mempunyai janji temu vaksinasi supaya tidak hadir di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) esok.

"Ini untuk membolehkan perancangan inisiatif ini dimuktamadkan, seperti urusan logistik serta penghantaran bekalan stok vaksin di semua PPV," menurut CITF dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini.

"Sama penting ialah merancang susunan waktu inisiatif walk-in ini untuk mengelakkan kesesakan di PPV terutamanya bagi warga emas ketika jumlah kes jangkitan Covid-19 yang semakin tinggi," menurut kenyataan itu.

Pelaksanaan kaedah vaksinasi 'walk in' untuk warga emas berusia 60 ke atas itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba dalam satu sidang media khas Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 10:33 PM