AKSI mat rempit yang sempat dirakam ketika Ops Samseng Jalanan di Jalan Kampung Kubang Jela, Kampung Paloh. FOTO Ihsan JSPT Terengganu.
AKSI mat rempit yang sempat dirakam ketika Ops Samseng Jalanan di Jalan Kampung Kubang Jela, Kampung Paloh. FOTO Ihsan JSPT Terengganu.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Biasanya mereka akan berkumpul pada awal pagi untuk merempit.

Namun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka menukar waktu sebelum solat Subuh untuk melakukan aktiviti itu bagi mengaburi pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik itu tidak berjaya apabila sekumpulan mat motor yang menjadikan Jalan Kampung Kubang Jela, Kampung Paloh di sini, sebagai 'port' berlumba diserbu polis dalam Ops Samseng Jalan, hari ini.

Ketua JSPT Terengganu Superintendan Abd Razak Hasan berkata, operasi dijalankan pegawai dan anggota Skuad 42 Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu.

"Dua lelaki berusia 20 dan 25 tahun ditahan kerana menunggang motosikal dengan aksi zig zag dan berlumba kira-kira jam 6 pagi.

"Terdahulu, kami melakukan pemantauan di lokasi berkenaan pada 1 pagi.

"Kumpulan mat motor berkenaan dilihat mula berkumpul di kawasan berkenaan antara jam 4 hingga 6 pagi iaitu sebelum solat Subuh.

"Terdapat hampir 80 motosikal yang memasuki kawasan berkenaan dengan kebanyakannya menjadi penonton dan melarikan diri sebagai menyedari kehadiran anggota," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abd Razak berkata, pihaknya turut menyita empat motosikal termasuk dua motosikal sprint.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya dengan menunjukkan aksi dan Seksyen 64 akta sama.

"Kita turut mengeluarkan 23 saman membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada cermin sisi, nombor pendaftaran dan ubah suai aksesori," katanya.

Abd Razak berkata, operasi akan dijalankan secara berterusan walaupun ketika musim perayaan dalam mengekang aktiviti tidak sihat di Terengganu.

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan trafik termasuk merempit dan menunggang dengan aksi berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 6:31 PM