TUN Dr Mahathir Mohamad. FOTO akrib NSTP
TUN Dr Mahathir Mohamad. FOTO akrib NSTP
Hamzah Osman


Langkawi: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini disiasat selepas didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika hadir di sebuah surau, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, siasatan dilakukan berdasarkan video dua minit dan 29 saat yang dimuat naik di Facebook Najib Razak sejak semalam.

Menurutnya, video berkenaan memaparkan Dr Mahathir tidak mengimbas MySejahtera dan memeriksa suhu badan ketika hadir di majlis itu.

"Semakan mendapati ia berlaku pada pagi 8 Mei lalu di surau Raudhatul Jannah, Kuala Teriang.

"Siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, video terbabit tular di media sosial yang memaparkan bekas perdana menteri itu melanggar kesalahan SOP ketika menghadiri program sumbangan di Langkawi.

Sementara itu, Dr Mahathir dalam kenyataan hari ini, memohon maaf kerana melakukan kesalahan dan bersedia menerima tindakan mengikut undang-undang.

Dalam kenyataan itu, beliau memaklumkan pulang ke Langkawi untuk memenuhi beberapa program untuk menyampaikan sumbangan Ramadan serta Aidilfitri di kawasan Parlimen Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 9:10 PM