SHARIMAN memeriksa permit rentas daerah penumpang feri yang mahu berlepas ke Kuala Kedah di Jeti Kuah, Langkawi. FOTO Hamzah Osman.
SHARIMAN memeriksa permit rentas daerah penumpang feri yang mahu berlepas ke Kuala Kedah di Jeti Kuah, Langkawi. FOTO Hamzah Osman.
Hamzah Osman

Langkawi: Enam penumpang tidak dibenarkan menaiki feri selepas gagal menunjukkan surat kebenaran rentas daerah ketika pemeriksaan dilakukan di Terminal Feri Kuah di sini, hari ini.

Dalam kejadian 9 pagi itu, enam penumpang termasuk empat sekeluarga cuba menaiki feri penumpang bagi perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pemeriksaan dilakukan anggotanya turut mendapati alasan yang diberi mereka juga tidak munasabah.

Katanya, antara alasan diberi adalah surat kebenaran tertinggal di dalam kereta yang diletak di Kuala Kedah ketika datang ke Langkawi.

"Berikutan itu, semua penumpang dewasa berkenaan tidak dibenarkan menaiki feri penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah kerana didapati tidak memohon surat kebenaran.

"Malah mereka tidak cuba mendapat surat kebenaran dari Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi untuk balik semula ke Kuala Kedah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu Shariman mengetuai Operasi Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Permit Rentas Daerah bersama anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di Terminal Feri Kuah.

Shariman berkata, semua penumpang yang dikesan melanggar SOP kemudian diarah berpatah balik dan menguruskan dokumen diperlukan terlebih dahulu.

Sementara itu, beliau berkata, pemeriksaan dilakukan pihaknya mendapati ada beberapa penumpang feri tidak memakai pelitup muka dengan betul dan mereka diberi nasihat.

"Walaupun Kedah kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), orang ramai masih tetap perlu mematuhi SOP ditetapkan termasuk menjaga jarak dan memakai pelitup muka.

"Tindakan tegas termasuk kompaun boleh dikenakan ke atas mana-mana individu didapati melanggar perintah ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 11:34 AM