FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Sebanyak tujuh sekatan jalan raya (SJR) ditempatkan di daerah Timur Laut sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok sehingga 23 Mei ini.

Sekatan itu membabitkan seramai 313 anggota termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, SJR berkenaan membabitkan susur masuk dan keluar Jambatan Pulau Pinang, Batu Uban, Batu Ferringhi, Relau, Paya Terubong dan Jalan Sultan Azlan Shah.

"Tiada laluan tikus atau 'jalan kampung' dikenal pasti di daerah ini berikutan ia adalah kawasan bandar raya, namun kesemua laluan sudah disekat.

"Kita mempunyai sebanyak 30 pasukan pemantau di daerah ini bagi memastikan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sepanjang perayaan Aidilfitri dan PKP," katanya.

Katanya, pihaknya turut akan melakukan pemantauan ketat SOP di tempat awam terutama di pasar raya dan pasar awam.

"Setakat ini kita belum mengesan tindakan salah guna borang permohonan bagi merentas negeri dan pemeriksaan ketat akan dijalankan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintenden AA Anbalagan berkata, terdapat dua SJR diadakan di daerah Barat Daya berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini.

Katanya, sekatan membabitkan susur kiri Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) atau Jambatan Kedua Pulau Pinang (JK2PP) dari arah Georgetown.

"Kita juga menempatkan SJR di susur naik laluan bertingkat di Jalan Sultan Azlan Shah menghala ke arah Bayan Baru dan Balik Pulau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 3:12 PM