MOTOSIKAL ditunggang sekumpulan calon SPM yang ditahan polis trafik, hari ini. FOTO ihsan polis.
MOTOSIKAL ditunggang sekumpulan calon SPM yang ditahan polis trafik, hari ini. FOTO ihsan polis.
Nur Saliawati Salberi


TINDAKAN sekumpulan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkumpul dengan menunggang motosikal sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain bagi meraikan tamatnya peperiksaan mengundang padah apabila ditahan polis trafik di Klebang, Melaka, hari ini.

Pelajar terbabit dikatakan bukan hanya berkumpul dan membuat bising, malah turut melakukan aksi berbahaya.

Sehubungan itu, kumpulan remaja berkenaan ditahan sepasukan anggota polis trafik pada 1 tengah hari.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, pemeriksaan dilakukan di dua lokasi iaitu di Bandar Melaka dan Klebang sebaik tamat peperiksaan SPM.

Beliau berkata, hasilnya seramai 13 remaja berusia antara 16 hingga 17 tahun ditahan bagi siasatan sebelum dibebaskan sebaik keterangan mereka diambil.

“Sebanyak 17 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal terbabit selepas didapati melakukan kesalahan trafik.

“Antara kesalahan dikesan adalah tiada nombor pendaftaran, tiada lesen memandu, tidak patuh tunjuk arah trafik serta tidak memakai topi keledar.

“Mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Batang Tiga dan kes disiasat mengikut Akta Kesalahan Lalu Lintas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 8:57 PM