GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kota Bharu: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menzahirkan kebimbangan susulan peningkatan mendadak kes harian Covid-19 di negeri itu sejak pertengahan April lalu dengan 480 kes direkodkan, semalam.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata, baginda turut menzahirkan rasa dukacita apabila melihat ramai rakyat Kelantan masih mengambil ringan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

"Baginda turut menyeru semua supaya mengambil serius pematuhan SOP PKP ditetapkan.

"Baginda turut menekankan bahawa peranan semua pihak dalam usaha melandaikan lengkung jangkitan kes penularan Covid-19 sangat penting," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Nik Mohd Shafriman berkata, berikutan penularan varian Afrika Selatan B.1.351 yang dikesan di negeri itu, baginda menitahkan semua pihak terutama rakyat Kelantan, perantau mahupun golongan kenamaan atau selebriti supaya tidak merentas negeri sekiranya tiada kecemasan.

Beliau berkata, Sultan Muhammad V turut menyarankan peniaga agar mengutamakan pengurusan perniagaan melalui atas talian.

"Baginda benar-benar berharap seluruh rakyat bekerjasama dalam melindungi ahli keluarga sekeliling dan berempati dengan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang banyak berkorban sejak awal pandemik demi mengekang penularan Covid-19, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Aidilfitri.

"Sultan Kelantan turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kakitangan KKM yang tidak mengenal penat lelah dalam berkhidmat untuk segenap lapisan masyarakat.

"Sempena minggu terakhir Ramadan ini, baginda turut mengajak semua rakyat berdoa ke hadrat Allah S.W.T supaya penularan Covid-19 dapat dibendung secepat mungkin serta tindakan kolektif diambil rakyat dapat segera melandaikan jangkitan wabak yang semakin membimbangkan," katanya.

Justeru, baginda mengingatkan seluruh rakyat Kelantan supaya sentiasa memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan tangan untuk mengelak jangkitan wabak berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 4:30 PM