GAMBAR hiasan. FOTO Hassan Omar
GAMBAR hiasan. FOTO Hassan Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


SULTAN Kelantan Sultan Muhammad V berkenan menyerahkan peruntukan yang disediakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk program bersama baginda sepanjang Ramadan kepada asnaf.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata, baginda turut memaklumkan MAIK supaya perlunya meneruskan penyaluran bantuan kepada asnaf negeri itu yang terkesan akibat wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga keadaan pulih.

Katanya, baginda sentiasa mendoakan supaya seluruh rakyat dilindungi Allah SWT dalam menghadapi musibah pandemik itu.

“Baginda menzahirkan kesyukuran melihat perkembangan semasa statistik kes Covid-19 di Kelantan yang semakin landai dan berkurangan.

“Bagaimanapun, pematuhan fasa ketiga PKP adalah penting bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dikawal dan diputuskan,” katanya dalam kenyataan.

Nik Mohd Shafriman berkata, Sultan Muhammad turut menzahirkan dukacita kerana tidak dapat bersama rakyat tahun ini untuk berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih di masjid seperti tahun sebelumnya.

“Baginda mengharapkan agar seluruh rakyat jelata tetap dapat menunaikan solat tarawih secara berjemaah di rumah masing-masing,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 3:05 PM