GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Farah Marshita Abdul Patah


Ampang: Sepasang suami isteri yang merupakan pengurus sebuah tahfiz didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mendatangkan kecederaan dan merotan seorang pelajar berusia tujuh tahun, Mac lalu.

Norizan Yahya, 53 dan suaminya, Muhammad Yaqoob, 35, warga Pakistan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar dan Majistret Normaizan Rahim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Norizan didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap seorang pelajar lelaki berusia tujuh tahun enam bulan, di Taman Tun Abdul Razak, di sini, antara jam 6 petang, 9 Mac hingga 23 April lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Muhammad Yaqoob dituduh mendatangkan cedera dengan menggunakan rotan terhadap mangsa sama, di tempat, tarikh dan masa sama serta didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shazwani Abdullah dan Suriantiazilla Muhammad, masing-masing membantah sebarang jaminan diberikan terhadap Norizan dan Muhammad Yaqoob kerana membabitkan kesalahan serius.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh dalam rayuan mereka menerusi peguam Dony Abdullah, memohon dibenarkan ikat jamin rendah.

Mahkamah membenarkan Norizan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang menganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Muhammad Yaqoob pula dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin dan melaporkan diri di balai polis berhampiran serta tidak menganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 18 Jun ini untuk sebutan semula kedua-dua kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 2:20 PM