PENDUDUK yang dikesan menjadi kontak rapat kes Covid-19 menunggu giliran untuk membuat ujian calitan di Pusat Saringan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PENDUDUK yang dikesan menjadi kontak rapat kes Covid-19 menunggu giliran untuk membuat ujian calitan di Pusat Saringan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan negeri mengingatkan penduduk di Kelantan supaya tidak mengadakan sebarang majlis kenduri termasuk majlis perkahwinan pada Aidilfitri nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, sebarang majlis keraian tidak dibenarkan sama sekali sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, dalam keadaan penularan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan di negeri itu, rakyat diharap memberi kerjasama penuh dalam memutuskan rangkaian wabak berkenaan.

"Saya ingatkan kepada semua bahawa sepanjang tempoh PKP, tiada sebarang majlis dibenarkan termasuk majlis perkahwinan.

"Mereka yang ingkar akan dikenakan tindakan sewajarnya. Saya mohon patuhilah prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Bila Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan undang-undang, rakyat marah namun pada masa sama mereka melanggar SOP," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kepatuhan SOP di Kelantan setakat ini masih lemah daripada segi penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka.

Menurutnya, apabila beliau membuat tinjauan di gerai di tepi jalan, timbul perasaan sedih kerana melihat ramai lagi memandang ringan dengan penjarakan fizikal dan pelitup muka.

"Tidak kira sama ada pengunjung atau peniaga, kebanyakan mereka hanya meletakkan pelitup muka di dagu," katanya.

Peningkatan kes Covid-19 dicatatkan di Kelantan sejak beberapa minggu lalu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mengambil pendekatan membuka hospital medan selain menambah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Hospital medan akan dibuka di tapak padang perdana, di sini, selain satu lagi PKRC iaitu Kelantan Trade Centre (KTC) yang mampu memuatkan 1,000 pesakit dijangka beroperasi dalam masa terdekat.

Pada masa sama, Hospital Machang akan dijadikan hospital Covid-19 sebagaimana Hospital Tumpat, bagi menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah.

Sehingga kini, fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kelantan sama ada di hospital serta PKRC sudah hampir penuh dan dalam keadaan kritikal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 2:20 PM