Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob menasihatkan masyarakat di Kelantan supaya menghentikan budaya bersalam buat masa ini, dalam usaha kerajaan memutuskan rangkaian Covid-19.

Beliau berkata, budaya bersalam masih berlaku sehingga kini dan rutin itu agak sukar dielak.

"Buat masa ini, tidak perlu salam lah.... Lebih baik hati ke hati sahaja," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan (JKKNK) di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, sehingga semalam, Kelantan mencatatkan 97 kes aktif dalam tempoh lebih dua minggu dan pihaknya berusaha sedaya upaya untuk mengekang penularan virus itu.

"Memandangkan kes di Kelantan semakin meningkat, kita perlu meningkatkan lagi usaha dan kawalan bagi memutuskan rantaian Covid-19.

"Langkah lebih tegas perlu diambil contohnya menambah baik maklumat supaya sampai kepada rakyat. Ini kerana kadang-kadang rakyat tidak tahu apa itu PKPB.

"Justeru, kita mahu rakyat tahu Covid-19 adalah berbahaya dan biar mereka takut seolah-olah takut kepada harimau," katanya.

Ahmad turut menasihatkan penduduk di negeri itu supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 1:55 PM