GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Peningkatan kes Covid-19 di Kelantan sejak beberapa minggu lalu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mengambil pendekatan membuka hospital medan selain manambah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Hospital medan akan dibuka di tapak padang perdana, di sini, selain satu lagi PKRC iaitu Kelantan Trade Centre (KTC) yang mampu memuatkan 1,000 pesakit dijangka beroperasi dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin, berkata, pada masa sama, Hospital Machang juga akan dijadikan hospital Covid-19 sebagaimana Hospital Tumpat, bagi menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah.

Katanya, fasiliti di Kelantan sama ada membabitkan peralatan hospital serta PKRC sudah hampir penuh dan dalam keadaan kritikal.

"Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital juga sudah mencecah hampir 100 peratus sehingga pesakit ICU juga terpaksa ditempatkan di wad biasa. Peralatan ventilator sebanyak 60 unit kini hanya berbaki lima unit sahaja dan ia menimbulkan kebimbangan.

"Pada masa sama, PKRC yang sedia ada juga sudah hampir penuh dan hospital medan serta PKRC yang akan dibuka ini hanya mampu bertahan beberapa hari sahaja sekiranya kes Covid-19 tidak menunjukkan penurunan.

"Apabila kita terpaksa membuka hospital medan, ini menunjukkan keadaan di Kelantan semakin kritikal dan pada masa sama kita terpaksa memohon bantuan daripada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari negeri lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 12:55 PM