Pengunjung yang datang ke Bazar Aidilfitri di perkarangan Stadium Darul Aman, malam tadi tidak mematuhi SOP yang ditetapkan. FOTO IHSAN Pembaca
Pengunjung yang datang ke Bazar Aidilfitri di perkarangan Stadium Darul Aman, malam tadi tidak mematuhi SOP yang ditetapkan. FOTO IHSAN Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Sikap mementingkan diri orang ramai apabila dikesan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika bazar Aidilfitri di perkarangan Stadium Darul Aman, di sini, malam tadi seperti tular di media sosial amat dikesali.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata,

pihaknya bimbang jika SOP tidak dipatuhi berkemungkinan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak akan membenarkan aktiviti bazar Aidilfitri.

Katanya, gambar yang tular di laman sosial berkaitan pengunjung ke bazar Aidilfitri berkenaan jelas mendapati orang ramai bersesak-sesak di kawasan berkenaan.

"Itulah masalahnya, apabila kita benarkan buka, mereka tidak patuh SOP dan buat macam-macam. Apabila tidak bagi buka, mereka marah.

"Semalam, Menteri Besar (Muhammad Sanusi Md Nor) sudah bagi peluang untuk mereka berniaga, tetapi kena ikut SOP yang perlu dipatuhi.

"Tetapi apa terjadi malam tadi, pengunjung tidak patuh SOP dan langsung tidak ada penjarakan fizikal, kita memang kesal keadaan ini berlaku," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Hari ini, tular di laman sosial gambar kehadiran pengunjung bazar Aidilfitri di Stadium Darulaman yang terlalu ramai menyebabkan berlaku ketidak patuhan SOP.

Dr Mohd Hayati berkata, beliau bimbang sekiranya pihak berkuasa berkaitan mungkin terpaksa mengambil tindakan drastik yang lebih ketat termasuk menutup bazar berkenaan.

"Peniaga sepatutnya kena mainkan peranan, nasihatkan pengunjung supaya jaga SOP supaya tidak berlaku seperti malam tadi. Kalau MKN suruh tutup terus, semua akan rugi, jadi sekarang segala keputusan bergantung pada MKN.

"Penganjur bazar, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) ada menyediakan pengimbas suhu dan kod MySejahtera, malah anggota penguat kuasa MBAS, anggota Rela dan polis juga ada di situ, tetapi penjarakan fizikal tetap tidak dipatuhi," katanya.

Dalam pada itu, Dr Hayati menasihatkan pengunjung bazar Aidilfitri dan pasar raya supaya tidak membawa anak kecil terutama bayi di tempat tumpuan awam bagi mengelak jangkitan Covid-19.

"Sepatutnya ibu bapa mengetahui ukuran baju anak masing-masing, jangan bawa anak kecil terutama bayi bagi mengelak penularan wabak. Dari awal lagi perkara ini diingatkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 3:13 PM