ANGGOTA penguat kuasa MBAS melakukan pemantauan dan pemeriksaan lesen perniagaan di bazar Ramadan Stadium Darulaman. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA penguat kuasa MBAS melakukan pemantauan dan pemeriksaan lesen perniagaan di bazar Ramadan Stadium Darulaman. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tindakan orang ramai membawa ahli keluarga termasuk kanak-kanak ke bazar Ramadan menyebabkan berlaku pertambahan pengunjung yang ramai sekali gus menyukarkan penjarakan fizikal.

Tinjauan di bazar Ramadan Stadium Darulaman, di sini mendapati, orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan mendaftar My Sejahtera serta mengimbas suhu badan di penjuru masuk ke bazar berkenaan pada hari kedua, hari ini.

Bagaimanapun, ada yang membawa ahli keluarga termasuk bayi dan kanak-kanak kecil untuk membeli juadah seolah-olah menganggap tiada apa yang berlaku.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Ahmad Syaher Abu Bakar berkata, pihaknya menasihatkan pengunjung supaya tidak lagi membawa keluarga untuk membeli juadah di situ kerana ia boleh mengundang risiko penularan Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya tidak menggalakkan jumlah pengunjung yang ramai datang ke bazar Ramadan bagi mengelakkan kesesakan setiap hari.

"Yang nak beli juadah tu cuma seorang. Kalau boleh kami tak galakkan bawa keluarga terutama kanak-kanak dan warga emas kerana mereka lebih mudah dijangkiti.

"Kami juga lebih mengutamakan orang ramai mematuhi SOP dengan mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka. Kalau tak pakai, kita tak benarkan masuk ke kawasan bazar," katanya ketika ditemui ketika melakukan pemantauan di bazar Ramadan, di sini hari ini.

Ahmad Syaher berkata, untuk tahun ini, empat tapak bazar Ramadan di bawah seliaan MBAS iaitu di Stadium Darul Aman, Simpang Kuala, Jalan Putra dan Peremba.

Beliau berkata, selain itu, MBAS turut menyediakan permit untuk lapan bazar Ramadan swasta iaitu di Taman Rekreasi Gunung Keriang, Kompleks Perniagaan Ampang, perkarangan Raia Hotel & Convention Centre dan perkarangan Koperasi Pekan Rabu.

"Selain itu, tapak parkir pasar raya TF Mart Jalan Kuala Kedah, Jalan Tunku Ibrahim, tapak perkarangan Menara Alor Setar, perkarangan Astaka Utama Stadium Darulaman, pasar Pokok Sena, Jalan Kuala Kedah, Taman Wira Mergong dan perkarangan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

"Kita menempatkan 65 anggota penguatkuasa MBAS untuk memantau kesemua lokasi terbabit sepanjang Ramadan ini untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP, pemeriksaan lesen dan pemeriksaan kebersihan dan sebagainya.

"Sekiranya ada yang gagal mematuhi SOP berkenaan, kompaun RM10,000 akan dikeluarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 9:26 PM