SUASANA bazar Ramadan di Presint 3, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
SUASANA bazar Ramadan di Presint 3, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nor Amalina Alias

Emel:

Kota Bharu: Patuh prosedur operasi standard (SOP) atau berdepan penutupan bazar Ramadan. Itu peringatan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa kepada penganjur di 66 bazar ramadan di Wilayah Persekutuan.

Annuar berkata, peringatan itu diberikan kepada mereka memandangkan dia melihat situasi di kawasan berkenaan mendukacitakan khususnya dari sudut pematuhan SOP.

Katanya, dia menerima gambar dan laporan keadaan di kawasan jualan kurang memuaskan memasuki hari kedua Ramadan terutamanya dari segi had pengunjung di sesuatu bazar.

"Walaupun saya gembira dengan kunjungan dan sambutan luar biasa pengunjung bazar yang memberi berita baik kepada peniaga namun saya nak ingatkan, bahawasanya SOP yang dikenakan wajib dipatuhi," katanya ketika sidang media selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan sempena Ramadan di Kampung Padang Halban, di sini, hari ini.

ANNUAR (dua kanan) menyerahkan sumbangan bakul makanan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANNUAR (dua kanan) menyerahkan sumbangan bakul makanan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Kita nak benarkan bazar ramadan dan bazaria Aidilfitri berlangsung hingga akhir Ramadan, tapi sekiranya berlaku pelanggaran SOP dan berlaku wabak jangkitan, bazar terpaksa ditutup. Untuk elakkan berlaku, saya merayu penganjur ketatkan SOP di kawasan masing-masing.

"Saya bimbang, mereka beri jaminan ketika buat rayuan (buka bazar), bahawa ada penguatkuasaan yang cukup samada nak ambil anggota Sukarelawan Malaysia (RELA), atau Anggota Pertahanan Awam (APM), tapi kena ada penyelia.

"Setakat saya dapat gambar, tak cukup penyelia di tapak bazar, tak patuh SOP, tak ada penjarakan sosial.

"Secara keseluruhan saya tidak puas hati. Kalau tak ingatkan sekarang, saya risau kepatuhan makin longgar, akan menimbulkan masalah, " katanya.

Sementara itu, dalam majlis tadi, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menyampaikan sumbangan bakul makanan yang akan diagihkan kepada 16,000 keluarga di parlimen berkenaan.

Memandangkan mulai esok, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di negeri ini, agihan akan diteruskan secara rumah ke rumahdan pusat ambilan sehenti oleh jawatankuasa Parlimen Ketereh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 10:12 PM