PENGUNJUNG membeli juadah berbuka puasa menunggu giliran untuk masuk ke Bazar Ramadan Kelana Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim.
PENGUNJUNG membeli juadah berbuka puasa menunggu giliran untuk masuk ke Bazar Ramadan Kelana Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di bazar Ramadan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis akan melakukan pemantauan di lokasi bazar Ramadan.

"Polis menasihatkan orang ramai agar mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika berkunjung ke bazar-bazar Ramadan di seluruh negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, peniaga juga perlu bertanggungjawab dalam memastikan pengunjung premis sentiasa mematuhi SOP ketika urus niaga.

Katanya, antaranya memastikan pengunjung memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar yang menunjukkan orang ramai bersesak di bazar Ramadan pada hari pertama beroperasi semalam, sehingga menimbulkan kerisauan wujud kluster baharu Covid-19 dalam kalangan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 3:19 PM