Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: "Malam tadi adalah solat tarawih terakhir kami yang diimamkan oleh baba, sebelum dia meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya," kata Mohd Jawwad Md Yusnan, 27, anak kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor Allahyarham Dr Md Yusnan Yusof.

Adun Melor itu meninggal dunia di kediamannya pada 2.28 pagi hari ini selepas terjatuh dipercayai akibat serangan jantung.

Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, bapanya bangun untuk ke bilik air pada 2 pagi sebelum terjatuh di tepi katil akibat serangan jantung.

"Ketika terjatuh baba sempat menyebut kalimah Allah dan tidak mampu bercakap kemudiannya. Saya dan ibu terus menghubungi ambulans sebelum pasukan perubatan yang hadir memaklumkan baba sudah meninggal dunia.

"Baba memang mempunyai sejarah penyakit jantung dan pernah membuat pembedahan pada 2018.

"Kami sekeluarga reda dengan pemergian baba yang pergi pada hari serta bulan yang penuh mulia," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Ketereh di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Jawwad berkata, arwah bapanya seorang yang tegas namun sangat penyayang selain mementingkan mereka sekeluarga mengamalkan solat berjemaah lima waktu.

"Setiap hari sekiranya baba berada di rumah, baba sentiasa mengajak anak-anak serta ibu supaya solat berjemaah termasuk solat Subuh dan pesanan baba akan kami kenang sampai bila-bila.

"Tiada perubahan ketara dapat dilihat pada baba melainkan hanya menjadi sedikit pendiam sejak seminggu lalu, namun baba masih aktif bekerja sehingga petang semalam," katanya.

Menurutnya, solat jenazah bapanya akan diadakan di Masjid Muhammadi Kota Bharu selepas solat Jumaat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Pondok Haji Hassan, Ketereh di sini.

Allahyarham Md Yusnan meninggalkan seorang isteri, Romaini Mat Daud, 52, dan enam orang anak berusia 22 hingga 29 tahun.

Antara yang turut hadir memberi penghormatan terakhir adalah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Adun Demit Datuk Mumtaz Md Nawi dan Adun Chempaka Ahmad Fathan Mahmood.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Md Yusnan dari Pas itu menang dengan mendapat 7,820 undian mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Azmi Ishak yang mendapat 7,173 undi.

Allahyarham menjadi Adun Melor sejak 2013 dan turut memegang jawatan sebagai Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan.

Mohammad Jawwad menunjuk gambar arwah ayahnya yang meninggal dunia dipercayai kerana sakit jantung pagi hari ini di kediamannya di Kampung Ketereh, Kota Bharu. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Mohammad Jawwad menunjuk gambar arwah ayahnya yang meninggal dunia dipercayai kerana sakit jantung pagi hari ini di kediamannya di Kampung Ketereh, Kota Bharu. Foto Nik Abdullah Nik Omar

Berita berkaitan

MB rakam takziah kepada keluarga Adun Melor

Adun Melor meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 12:10 PM