GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: Juruwang cedera di kepala selepas dipukul dengan botol arak ketika cuba menghalang perbuatan seorang lelaki melarikan tiga botol minuman di sebuah kedai serbaneka di Sungai Way, di sini, semalam.

Dalam kejadian 11.15 malam, lelaki warga asing berusia 32 tahun sedang bekerja di premis itu sebelum melihat suspek mencuri dua botol minuman keras dan sebotol air mineral.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian disedari rakan sekerja berusia 24 tahun selepas mendengar jeritan mangsa.

"Ketika rakannya bergegas ke hadapan premis melihat mangsa terbaring dengan keadaan kepala berdarah. Mangsa memberitahu dipukul seorang lelaki menggunakan botol minuman keras.

"Kejadian berpunca apabila mangsa cuba menahan lelaki itu mengambil dua botol minuman keras dan sebotol air mineral berharga RM150 tanpa membuat pembayaran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa cedera di kepala dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Bertindak atas laporan itu, katanya, sepasukan polis berjaya menahan suspek di Sungai Way, di sini, pada 12.50 tengah malam.

"Semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah," katanya.

Katanya, suspek direman enam hari bermula hari ini sehingga 4 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 6:58 PM