LORI dengan muatan 4,200 paket tepung beras ditahan oleh anggota PGA7 di Jalan Pak Keral, di sini. FOTO Ihsan PGA.
LORI dengan muatan 4,200 paket tepung beras ditahan oleh anggota PGA7 di Jalan Pak Keral, di sini. FOTO Ihsan PGA.
Siti Rohana

Tumpat: Sebanyak 4,200 paket tepung beras dianggarkan bernilai RM10,500 yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran dirampas di Jalan Pak Keral di sini, pagi ini.

Rampasan dilakukan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), selepas pemeriksaan terhadap sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan pada 7.20 pagi.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, pihaknya menahan kenderaan itu sebelum memperkenalkan diri dan membuat pemeriksaan di bahagian belakang lori.

"Kami menemui sejumlah kotak berwarna coklat yang mengandungi tepung beras sebanyak 4,200 paket.

"Kita percaya barang kawalan itu dibawa masuk dari Thailand melalui pangkalan haram di Sungai Golok untuk disimpan di stor sebagai lokasi transit sebelum dijual," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azhari berkata, pemandu lori berusia 52 tahun dari Kampung Ketil turut ditahan dan semua barang rampasan termasuk lori dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, pihaknya percaya tepung beras itu adalah untuk pasaran tempatan bagi memenuhi permintaan menjelang Aidilfitri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 1:16 PM