Gambar hiasan, aset APMM. FOTO Arkib NSTP.
Gambar hiasan, aset APMM. FOTO Arkib NSTP.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Kami tidak pernah 'tidur' dalam mengawal perairan negara daripada penyeludupan," kata Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Zool Hilmi Mohd Nadzir.

Menurutnya, pihaknya komited menjalankan amanah dipertanggungjawabkan bagi memastikan perairan di utara negara tidak dibolosi penyeludup yang menggunakan jalan laut untuk membawa masuk barang mahupun manusia ketika Aidilfitri.

Katanya, kawalan semakin diperketatkan lagi pada musim perayaan ini supaya tiada cubaan menyeludup bunga api dan mercun dari negara jiran, selain ketum mahupun dadah.

Beliau tidak menolak ada cubaan menyeludup barangan itu di tengah laut namun, kekerapan rondaan dan kawalan membantutkan usaha penyeludup.

"Sepanjang Ramadan ini juga, kita berjaya menggagalkan tiga kali cubaan menyeludup daun ketum ke negara jiran yang bernilai RM380,000.

"Permintaan tinggi daun ketum di Thailand dan harga pasaran yang lebih tinggi iaitu RM180 sekilogram, berbanding RM40 sekilogram di negara ini menyebabkan penyeludup cuba menggunakan jalan laut tapi membawanya keluar," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Zool Hilmi berkata, rampasan terbaharu di muara Kuala Kedah pada 2.55 pagi kelmarin yang merampas 500 kilogram daun ketum, namun penyeludup sempat terjun ke dalam laut sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa.

Katanya, pihaknya mengambil serius semua maklumat dan risikan yang diterima berkenaan penyeludupan terutama ketika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau mengalu-alukan maklumat dan aduan daripada orang ramai yang mengetahui sebarang aktiviti jenayah dengan menyalurkannya ke talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah 05-7310579.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 12:27 PM