ANGGOTA APMM memeriksa 1.21 tan daun ketum yang dirampas di perairan Kuala Sanglang yang cuba diseludup ke Thailand melalui jalan laut. FOTO IHSAN APMM
ANGGOTA APMM memeriksa 1.21 tan daun ketum yang dirampas di perairan Kuala Sanglang yang cuba diseludup ke Thailand melalui jalan laut. FOTO IHSAN APMM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan sekumpulan lelaki untuk menyeludup 1.21 tan daun ketum bernilai RM96,800 ke Thailand di perairan Kuala Sanglang, berhampiran sempadan Perlis, malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, daun ketum yang diisi dalam 121 beg plastik itu ditemui di kawasan berhampiran muara Kuala Sanglang, jam 11.35 malam.

"Berdasarkan maklumat awam dan risikan, sebuah bot peronda APMM dikerah ke lokasi.

"Pada Ops Khas itu, penyeludup yang menyedari kehadiran kami terus melarikan diri dan meninggalkan kesemua bungkusan daun ketum itu," katanya pada kenyataan.

Menurut beliau, harga pasaran daun ketum di Thailand jauh lebih tinggi dan ia boleh mencecah RM80 sekilogram berbanding RM40 sekilogram bagi pasaran tempatan.

"Disebabkan harga pasaran yang tinggi di sana, ia merancakkan lagi aktiviti cubaan menyeludup daun ketum ke Thailand," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 4:25 PM