ISMAIL Sabri. FOTO Arkib NSTP
ISMAIL Sabri. FOTO Arkib NSTP
Hayati Ibrahim dan Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: "Bagi diri saya, walaupun di luar bidang kuasa saya tetapi perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku. Hukumannya adalah terlalu tinggi."

Itu komen Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, apabila ditanya mengenai kes seorang penjual burger didenda RM50,000 oleh pihak polis bagi kesalahan berniaga melebihi had masa ditetapkan.

Menurutnya, mereka yang dikenakan kompaun boleh merayu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kita tahu yang hukuman ini adalah di bawah bidang kuasa KKM dari segi pengurangan kompaun. Tadi saya lihat melalui media bahawa Menteri Undang-Undang (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan) sudah pun memberikan penjelasan.

"Dibentangkan dengan terperinci dari segi jenis kesalahan dan jumlah saman yang kompaun patut dikenakan. Perkara ini sedang diambil tindakan oleh KKM. Jadi, kita tunggulah pengumuman atau pun kenyataan rasmi daripada KKM," katanya dalam sidang media, hari ini.

Tular di media sosial, seorang peniaga burger meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa dikenakan kompaun RM50,000 oleh pihak polis bagi kesalahan berniaga melebihi had masa ditetapkan.

Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, yang menjalankan perniagaan itu di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu, Kelantan memaklumkan didatangi beberapa anggota polis ketika menyiapkan tempahan pelanggan pada 11.10 malam.

Beliau dilaporkan berkata, polis kemudian mengeluarkan kompaun RM50,000 bagi kesalahan berniaga melebihi had masa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 7:22 PM