Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Jumlah anggota polis bertugas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di Kota Setar sedia ditambah jika perlu.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, akan mempertimbangkan tambahan itu untuk penugasan sekatan jalan raya atau rondaan berikutan Kota Setar yang luas serta membabitkan 28 mukim.

"Bilangan kes di Kota Setar juga meningkat dan berkemungkinan tindakan akan lebih tegas jika penduduk tidak patuh pada arahan yang ditetapkan.

"Kalau dulu kita hanya bagi nasihat dan amaran, namun apabila ada yang melanggar PKPD, tindakan kompaun dikenakan terhadap penduduk di kawasan berkenaan.

"Ia terpulang kepada Kontinjen Kedah untuk penugasan ini," katanya yang ditemui pada Majlis Penyerahan kenderaan pelbagai guna (MPV) baru di Sekolah Latihan Asas Kepolisan (SLAK) Kuala Muda di sini, hari ini.

DATUK Zainal Abidin Kasim melepaskan 34 buah kereta MPV Honda 1.8 yang diserahkan di Kontinjen Kedah/Perlis. FOTO Zuliaty Zulkiffli
DATUK Zainal Abidin Kasim melepaskan 34 buah kereta MPV Honda 1.8 yang diserahkan di Kontinjen Kedah/Perlis. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Pada majlis itu, 34 unit kereta peronda polis (MPV) jenis Honda Covic 1.8 diterima Kontinjen Kedah dan Perlis untuk penugasan anggota.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan individu yang mengingkari arahan PKPD dengan merentas sempadan tanpa sebarang urusan dan anggota dibenarkan mengambil tindakan selaras peruntukan sedia ada.

"Nasihat sudah diberikan sebelum ini dan kalau perlu, kita terpaksa tangkap dan kompaun kerana perlu bertegas serta tidak boleh diberi muka lagi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 6:45 PM