Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Alor Setar: Sejumlah 73 pasukan pemantau digerakkan di seluruh Kedah untuk memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) khususnya di tempat tumpuan awam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pasukan pemantau itu akan memeriksa pasar raya, pasar basah, kedai makan, terminal feri dan pengangkutan awam lain.

Sementara 16 sekatan jalan raya (SJR) mungkin diubah kepada Ops Pematuhan.

"Pemantauan dilakukan bagi memastikan orang ramai sentiasa memakai pelitup muka, melakukan penjarakan fizikal dan mendaftar My Sejahtera sebelum memasuki premis.

"Pemeriksaan pada sijil vaksinasi juga akan dilakukan bagi memastikan setiap pengunjung memasuki premis lengkap dua dos vaksin.

"Pematuhan SOP untuk mengelak berlaku jangkitan penularan Covid-19," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JKJKK) Kedah, Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad.

KAMARUL Zaman (tengah) melakukan pemeriksaan sijil vaksinasi orang ramai untuk memastikan mereka lengkap vaksinasi untuk memasuki premis di Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
KAMARUL Zaman (tengah) melakukan pemeriksaan sijil vaksinasi orang ramai untuk memastikan mereka lengkap vaksinasi untuk memasuki premis di Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Kamarul Zaman berkata, pemantauan juga akan turut dilakukan di kawasan perindustrian dan ke atas pekerja premis perniagaan.

Menurutnya, meskipun sempadan negeri dibuka bermula esok, orang ramai dinasihatkan supaya terus mematuhi SOP dan tidak mengabaikan keperluan penjagaan kesihatan supaya dapat mengelak penularan Covid-19.

"Pemeriksaan rawak di tempat awam tertakluk di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Sekiranya bergejala, jangan ke tempat awam dan segera dapatkan rawatan.

"Op Benteng di Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung pula akan diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 8:12 PM