GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pengasuh dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada pertuduhan menganiaya bayi lelaki berusia lima bulan sehingga lebam di paha kiri dan luka kecil di tangan kanan, tahun lalu.

Hakim Izralizam Sanusi membebaskan Noraini Mohamad, 46, selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

"Pihak pendakwaan gagal memuaskan elemen bagi keterangan mengikut keadaan kerana mangsa pulang dari taska pada pukul 5.30 petang sementara ibu bapa mangsa yang merupakan saksi pertama dan kedua hanya menyedari kecederaan itu pada 6 pagi keesokannya.

"Ibu bapa mangsa telah menukar lampin mangsa pada malam kejadian (7 Jan) namun mereka tidak menyedari kesan lebam pada paha mangsa. Ini bermaksud, kecederaan mungkin berlaku antara 5.30 petang hingga 6 pagi (keesokannya) yang mana pada ketika itu mangsa berada dalam jagaan ibu bapanya," katanya.

Izralizam juga berkata, rakaman kamera litar tertutup tidak menunjukkan sebarang perlakuan tertuduh mencederakan fizikal mangsa.

"Oleh itu, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut dan wang jaminan (RM3,000) dikembalikan kepada tertuduh," katanya.

Seramai enam saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan yang berlangsung pada 1, 2 dan 23 Mac lalu.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Taska De Sayang, Kementerian Luar Negeri, Wisma Putra di Putrajaya antara 7.30 pagi dan 5.30 petang pada 7 Jan 2020, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan manakala tertuduh diwakili peguam Navind Kumar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 2:46 PM