Seorang penganggur berusia 29 tahun dibawa ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan bersubahat dengan rakan-rakannya untuk merogol adik iparnya di sebuah rumah di Wangsa Maju. FOTO FATHIL ASRI.
Seorang penganggur berusia 29 tahun dibawa ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan bersubahat dengan rakan-rakannya untuk merogol adik iparnya di sebuah rumah di Wangsa Maju. FOTO FATHIL ASRI.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan bersubahat dengan rakan lain yang masih bebas untuk merogol adik iparnya secara bergilir-gilir di sebuah rumah, bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, bapa empat anak itu didakwa bersubahat dengan rakan sejenayah yang masih bebas memudahkan perbuatan rogol berkumpulan ke atas seorang wanita berusia 26 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kediaman di Wangsa Maju antara 2 pagi dan 3.30 pagi, 30 Ogos lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 107 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 375B kanun sama.

Jika sabit kesalahan lelaki itu yang juga abang ipar mangsa boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun serta boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Roslizi Sulaiman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Roslizi tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh melakukan kesalahan berat selain mempunyai hubungan dengan mangsa iaitu abang ipar.

"Sekiranya mahkamah memberikan ikat jamin, pihak pendakwaan bimbang usaha mengesan suspek yang masih bebas akan tergendala apatah lagi tertuduh adalah abang ipar dengan mangsa.

"Jika tertuduh diberi jaminan, suspek yang masih bebas boleh melarikan diri atas makluman tertuduh, ada tiga orang sekurang-kurangnya yang rogol mangsa, tiga suspek itu masih lagi bebas," katanya.

Katanya, selain itu, pihak pendakwaan bimbang mangsa yang akan menjadi saksi pendakwaan dikacau ganggu berikutan mereka tinggal serumah bersama tertuduh dan isterinya.

"Kami tidak menawarkan jaminan kerana kes ini serius, sangat berisiko untuk tertuduh melarikan diri," katanya.

Bagaimanapun tertuduh dalam rayuannya memohon supaya dibenarkan ikat jamin kerana mempunyai tanggungan seorang isteri dan empat orang anak.

"Saya mohon dibenarkan jaminan, mungkin isteri saya (sebagai penjamin)," katanya.

Izralizam turut bertanya sama ada isterinya mengetahui dia didakwa di mahkamah hari ini, tertuduh berkata, dia tidak pasti dan kali terakhir berjumpa isterinya ketika menyerah diri di balai polis.

"Tiada ahli keluarga lain (penjamin), kalau ada pun mungkin sepupu," katanya.

Mendengar hujahan kedua-dua pihak, Izralizam tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

"Penjamin tidak hadir ke mahkamah dan buat masa ini, tertuduh tidak dibenarkan jaminan.

"Selepas ini, saya beri satu tarikh dan jika ada peluang lantik peguam untuk hujahan mengenai jaminan dan hubungi rakan serta keluarga untuk jadi penjamin," katanya.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Oktober ini. '

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, ingin melangsaikan hutang rakan dipercayai punca yang mendorong lelaki membenarkan rakan merogol adik iparnya bergilir-gilir di kediaman mereka di Wangsa Maju.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 2:08 PM