GAMBAR Hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR Hiasan. FOTO BERNAMA
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan memanipulasi data harian kes Covid-19 seperti dakwaan seorang pemilik akaun Facebook yang mendakwa angka dikeluarkan itu adalah palsu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setiap hari kes dilaporkan daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) negeri dan disalurkan kepada pusat sebelum jam 12 tengah hari.

Menurutnya, data harian kes positif Covid-19 yang diumumkan setiap hari itu diperoleh melalui sistem maklumat dan kesihatan awam.

"Data kita peroleh setiap hari sehingga jam 12 tengah hari dan ia menggunakan sistem maklumat kesihatan awam," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas komen dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook yang mendakwa angka turun dan meningkat Covid-19 sengaja diadakan.

Wanita terbabit yang mendakwa petugas kesihatan turut mendakwa kes baharu itu adalah palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 4:50 PM