Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Selepas enam tahun menunggu dan berusaha menjalani pelbagai rawatan, suami isteri di Taman Seri Austin di sini, bersyukur hasrat mereka untuk memiliki cahaya mata dimakbulkan Tuhan.

Lebih manis, Muhammad Faiz Ismail, 33, dan isterinya, Nur Aisyah Zulkiffri, 30, bukan dikurniakan seorang anak, bahkan tiga yang juga kembar berlainan jantina yang dilahirkan pada September tahun lalu.

Kembar dua lelaki dan seorang perempuan itu yang dinamakan Muhammad Aqeef; Orked Nur Adeelia dan Muhammad Aqeed dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, serta kini berusia tujuh bulan.

Kisah mereka menjadi perhatian pasangan yang berusaha mendapatkan cahaya mata selepas dimuat naik Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Thokha Muhammad di akaun Instagram.

Nur Aisyah berkata, kembar itu adalah permata hati mereka yang hadir di saat dia dan suami hampir berputus asa selepas pelbagai rawatan kesuburan yang dijalani tidak membuahkan hasil, selain pernah mempertimbangkan mengambil anak angkat.

"Kami mendirikan rumah tangga pada 2014 dan selepas dua tahun, kami mula berjumpa dengan pakar sakit puan sebelum saya disahkan mengalami endometriosis (lapisan rahim berada di luar) pada rahim kiri.

"Ia kemudian dibuang dengan kaedah laparoskopi. Pada 2017, saya disahkan hamil namun, pemantauan doktor mendapati kantung kehamilan saya kosong.

"Tahun berikutnya (2018), ovari kanan pula mengalami endometriosis dan pembedahan dibuat untuk membuangnya, sebelum kami mencuba kaedah IUI (permanian beradas) pada 2019, malangnya gagal berhasil," katanya ketika ditemui.

Nur Aisyah berkata, mereka mencuba kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) pada Januari tahun lalu ketika hampir berputus asa, namun takdir Ilahi menetapkan dia hamil pada Februari dan dimaklumkan mungkin mendapat kembar tiga.

NUR Aisyah dan Muhammad Faiz bersama anak kembar mereka yang dilahirkan pada September lalu selepas enam tahun menunggu. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
NUR Aisyah dan Muhammad Faiz bersama anak kembar mereka yang dilahirkan pada September lalu selepas enam tahun menunggu. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Menurutnya, mereka sangat gembira, malah dia memastikan diri menjalani proses kehamilan yang lancar dan bebas tekanan di samping sokongan keluarga serta rakan.

"Alhamdulillah, semuanya lancar dan akhirnya saya melahirkan tiga anak kembar - dua lelaki dan seorang perempuan," katanya yang bersedia berkongsi maklumat dan pengalaman dengan wanita yang berusaha hamil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 11:58 AM