BERNAMA

Klang: Seorang lagi individu iaitu suspek utama direman lima hari bagi membantu siasatan kes pukul dua pengawal peribadi oleh majikan kerana berpuasa, baru-baru ini.

Perintah reman terhadap suspek berumur 44 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Atikah Zakaria di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Suspek iaitu majikan yang disyaki memukul dua pengawal peribadi itu direman lima hari hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 506 KK (ugutan), Seksyen 298 KK (menghina Islam) dan Seksyen 307 KK kerana cubaan membunuh.

Terdahulu, suspek yang memakai kemeja-T baju berwarna biru tiba di pekarangan mahkamah sekitar 10 pagi dengan diiringi pihak polis.

Suspek utama kes pukul dan ugut bunuh dua pengawal peribadi kerana berpuasa (tengah) direman selama lima hari di Mahkamah Klang pagi tadi. FOTO BERNAMA
Suspek utama kes pukul dan ugut bunuh dua pengawal peribadi kerana berpuasa (tengah) direman selama lima hari di Mahkamah Klang pagi tadi. FOTO BERNAMA

Ahli perniagaan itu ditahan polis pada 8.20 malam di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis lepas susulan terbabit dalam kejadian memukul pengawal peribadinya sebelum ini.

Sebelum ini, kes itu disiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sebelum dipindahkan ke IPD Klang Selatan.

Mahkamah Majistret Klang pada Khamis, turut mengeluarkan perintah reman kepada empat individu termasuk seorang pengawal peribadi bagi membantu siasatan kes itu.

Tiga daripada suspek yang juga pekerja di sebuah syarikat milik majikan terbabit direman lima hari.

Selain itu, pengawal peribadi itu direman tujuh hari bermula Khamis (15 April).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 2:40 PM