Ekhwan Haque Fazlul Haque

Cheras: "Tidak sangka di bawah dahan pokok yang tumbang ada seorang penunggang motosikal yang maut kerana dihempap pokok," kata Abu Dzar Al Husaini Rahimin.

Beliau yang bekerja di stesen minyak di Alam Damai, di sini, antara saksi melihat kejadian pokok tumbang petang tadi.

Kejadian jam 3.30 petang itu menyebabkan seorang lelaki berusia 20 tahun yang juga penghantar makanan maut.

Beliau berkata, ketika kejadian dia sedang bertugas sebagai juruwang di stesen minyak berkenaan sebelum menyedari sebatang pokok di depan premis itu tumbang di tengah laluan.

"Saya kemudian segera menghubungi talian kecemasan 999 memaklumkan kejadian namun tidak sangka ada mangsa terperangkap.

"Tidak lama selepas itu, saya lihat beberapa pengguna jalan raya bergegas mengalihkan dahan pokok kerana ada seorang lelaki terperangkap," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, mangsa berjaya ditarik keluar orang ramai dan dikatakan masih bernafas namun pemeriksaan pasukan perubatan tidak lama selepas itu mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia.

LELAKI berusia 20 tahun maut selepas motosikal ditungganginya dihempap pokok di hadapan sebuah stesen minyak di Alam Damai di Cheras, hari ini. FOTO ihsan pembaca
LELAKI berusia 20 tahun maut selepas motosikal ditungganginya dihempap pokok di hadapan sebuah stesen minyak di Alam Damai di Cheras, hari ini. FOTO ihsan pembaca

Katanya, sebelum kejadian angin bertiup kencang namun hujan masih belum begitu lebat.

"Pokok yang tumbang sudah dialihkan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam bagi membolehkan laluan itu digunakan semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 7:02 PM