GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dua lagi kes Covid-19 yang dijangkiti varian UK B.1.1.7.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dijangkiti varian berkenaan sebanyak lima kes.

Beliau berkata, varian berkenaan boleh menular dengan mudah dan cepat walaupun banyak kajian saintifik masih berjalan untuk mengkaji gejala dan kesan jangkitan varian terbabit.

"Dua kes terbaru iaitu kes keempat dan kelima adalah pengembara warganegara Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Poland.

"Kedua-dua mereka didapati positif Covid-19 pada 30 Mac lalu dan sudah diberikan rawatan selanjutnya.

"Analisis filogenetik pula menunjukkan kes keempat yang dijangkiti dengan varian UK B.1.1.7 mempunyai persamaan ketara dengan varian dari Poland dan mempunyai kebarangkalian tinggi bahawa kes berkenaan mendapat jangkitan ketika berada di negara itu.

"Bagaimanapun, punca jangkitan bagi kes kelima pula tidak dapat ditentukan kerana analisis menunjukkan perbezaan bagi varian yang menjangkiti kes berkenaan yang secara langsung menunjukkan bahawa kedua-dua kes ini mendapat jangkitan melalui sumber yang berlainan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berikutan itu, Dr Noor Hisham menasihati orang ramai untuk mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka di tempat awam, dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa.

"KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Pusat Kesiapsagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan akan sentiasa memantau perkembangan mutasi di negara ini dan akan memaklumkan dari masa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 6:11 PM