GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Jumlah kluster Covid-19 harian dalam negara hari ini meningkat dengan 15 lagi kluster direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu itu membabitkan sembilan kluster tempat kerja, manakala bakinya komuniti.

Beliau berkata, tiga kluster tempat kerja di Kelantan direkodkan iaitu Kluster Kampung Bunut Sarang Burung, Kluster Kampung Domis, Kluster Kampung Labok dan Kluster Kok Lanas.

Katanya, Selangor pula merekodkan Kluster Jaya Setia dan Kluster Perobot Olak Lempit, manakala Kluster Lorong Megah Jaya dan Kluster Jalan Labuk Tiga direkdokan di Sabah, selain Kluster Jalan Radin di Kuala Lumpur.

"Bagi kluster komuniti, Kluster Biah Skim dan Kluster Melangkap Tomis di Sabah manakala Kluster Kampung Bechah Semak di Kelantan.

"Selain itu, Kluster Jalan Cempaka Putih di Johor, Kluster Taman Rakyat di Terengganu dan Kluster Kampung Pokok Machang di Kedah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, setakat ini sebanyak 346 kluster masih aktif dengan 73 kluster merekodkan pertambahan kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan dua kes Covid-19 varian UK B.1.1.7 dikesan di Malaysia.

Katanya, ini menjadikan jumlah kes bagi varian UK B.1.1.7 adalah sebanyak lima kes sehingga hari ini.

"Dua kes terbaru iaitu kes keempat dan kelima adalah pengembara warganegara Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Poland.

"Kedua-dua pengembara didapati positif pada 30 Mac lalu dan diberikan rawatan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, analisis filogenetik pula menunjukkan kes keempat mempunyai persamaan ketara dengan varian dari Poland dan mempunyai kebarangkalian tinggi bahawa kes itu mendapat jangkitan ketika berada di negara berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, punca jangkitan bagi kes kelima pula tidak dapat ditentukan kerana analisis menunjukkan perbezaan bagi varian yang menjangkiti kes itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 6:26 PM