GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Seorang pemuda berusia 24 tahun dihantar ke penjara hari ini untuk menjalani hukuman penjara dua tahun atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, empat tahun lalu.

Ini selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Suraya Othman menolak permohonan Mustaqim Khairudin untuk mendapat kebenaran meneruskan rayuannya di Mahkamah Rayuan kerana dia tidak membangkitkan persoalan undang-undang.

Hakim Suraya yang bersidang bersama Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Ghazali Cha, mengeluarkan waran komital terhadap Muhammad Mustaqim untuk menjalani hukuman penjaranya bermula hari ini.

Muhammad Mustaqim diikat jamin sementara menunggu permohonan rayuannya.

Berdasarkan undang-undang, Muhammad Mustaqim harus mendapat kebenaran sebelum boleh meneruskan rayuannya di Mahkamah Rayuan kerana kesnya didengar di Mahkamah Majistret.

Mahkamah Majistret Kangar mendapati Muhammad Mustaqim bersalah terhadap kesalahan itu dan menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM6,000 terhadapnya. Dia kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi namun rayuannya ditolak.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Mustaqim, yang ketika itu seorang pelajar, didakwa menunggang motosikalnya secara melulu sehingga menyebabkan kematian Akmal Azrizal Anour, 17, di hadapan Pos Laju di Jalan Kangar, Padang Besar, Kangar, Perlis pada 10.10 malam pada 8 Mac 2017.

Peguam Pyara Singh mewakili Muhammad Mustaqim manakala Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke mewakili pendakwaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 6:19 PM