Faris Fuad


Putrajaya: Pasukan pembelaan Sam Ke Ting yang merayu terhadap hukuman penjara enam tahun, menegaskan kerani itu disabitkan atas pertuduhan cacat yang membawa kepada hukuman tidak mengikut undang-undang.

Mahkamah Tinggi Johor Bahru menjatuhkan hukuman itu dan denda RM6,000 terhadap Ke Ting, kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak.

Peguam bela Ke Ting, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, ada tiga kesalahan berbeza mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kesalahan terbabit ialah memandu kenderaan secara melulu atau memandu kenderaan dengan laju atau memandu kenderaan dengan mengambil kira semua faktor termasuk keadaan trafik serta jalan yang berbahaya.

"Apa yang dilakukan oleh Pendakwa Raya dalam kes ini ialah menggabungkan kesalahan pemanduan melulu dan bahaya. Ini adalah salah.

"Sepatutnya hanya satu daripada kesalahan itu mengikut undang-undang. Dengan hormatnya dihujahkan bahawa perayu sememangnya diperdayakan (mengenai pertuduhan).

"Perayu diperdayakan di kedua-dua peringkat iaitu pada akhir kes prima facie dan pembelaan.

"Berdasarkan hujahan terbabit, kami dengan hormatnya berharap supaya sabitan dan hukuman terhadap anak guam diketepikan," katanya ketika berhujah di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini.

Panel itu diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah.

Pada 13 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan kerani itu dikenakan hukuman berkenaan atas kesalahan pada 2017.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar, turut memerintahkan responden, Ke Ting, 27, menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun berkuat kuasa selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Ia sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun sama, yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan responden daripada pertuduhan berkenaan.

Abu Bakar dalam penghakimannya dilapor berkata, mahkamah bicara sebelum ini terkhilaf apabila gagal memutuskan pembelaan responden secara tidak bersumpah dan hanya bersifat penafian semata-mata.

SAM Ke Ting (dua kiri) bersama barisan peguamnya diketuai Datuk Hisyam Teh (kiri) selepas prosiding rayuan terhadap hukuman penjara enam tahun dan denda kerana memandu melulu yang menyebabkan lapan penunggang basikal lajak maut. FOTO Hairul Anuar Rahim.
SAM Ke Ting (dua kiri) bersama barisan peguamnya diketuai Datuk Hisyam Teh (kiri) selepas prosiding rayuan terhadap hukuman penjara enam tahun dan denda kerana memandu melulu yang menyebabkan lapan penunggang basikal lajak maut. FOTO Hairul Anuar Rahim.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kesalahan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada 3.20 pagi, 18 Februari 2017.

Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, selain lesen memandu digantung jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman berkata, mahu memberi penekanan terhadap kesilapan yang dibuat Mahkamah Majistret yang membebaskan tertuduh.

"Mahkamah Rayuan boleh nilai semula bukti dan tengok balik (kes ini) betul ke tak betul. Fakta semua ada dan saksi nak cakap apa?

"Dakwaan saksi bahawa remaja itu duduk di tengah jalan adalah salah, kita akan buktikan," katanya.

Bagaimanapun, Tengku Amir Zaki yang memaklumkan memerlukan dua jam untuk berhujah mengenai kes berkenaan menyebabkan panel hakim menangguhkan prosiding rayuan ke 11 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 2:04 PM