Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seramai 1,215 ahli sindiket curi kenderaan di seluruh negara ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) sejak 2016.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar berkata, daripada jumlah itu, 753 individu yang ditahan membabitkan kes curi motosikal, 422 individu curi kereta dan selebihnya lain-lain kenderaan.

"Semua individu yang dikenakan POCA itu tidak termasuk ratusan individu lain yang didakwa di mahkamah atas kesalahan sama (curi kenderaan).

"Jenayah curi kenderaan sentiasa berlaku dan kami akan terus mengadakan kempen bagi mendidik masyarakat supaya kurangkan ruang serta peluang berlaku jenayah berkenaan," katanya pada sidang media Majlis Kempen Kesedaran Awam Kecurian Kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) - Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC) di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Dev berkata, berdasarkan rekod, sebanyak 21,578 kes kecurian kenderaan direkodkan pada tahun lalu berbanding 30,868 pada 2019.

DEV (tengah) diiringi Mas Tina (dua dari kanan) melawat pameran pada Kempen Kesedaran Awam Kecurian Kenderaan PDRM-VTREC. FOTO Hairul Anuar Rahim
DEV (tengah) diiringi Mas Tina (dua dari kanan) melawat pameran pada Kempen Kesedaran Awam Kecurian Kenderaan PDRM-VTREC. FOTO Hairul Anuar Rahim

"Statistik itu menunjukkan penurunan kes sebanyak 30 peratus. Melihat kepada statistik itu, saya percaya penurunan kes ini tidak akan dapat dicapai tanpa kerjasama, kolaborasi serta sokongan padu daripada semua pihak.

"Antara punca berlaku jenayah ini kerana sikap ambil mudah segelintir masyarakat terhadap aspek keselamatan termasuk meletak kenderaan di tempat sunyi serta tidak mempunyai alat penggera," katanya.

Sementara itu, Koordinator VTREC, Mas Tina Abdul Hamid berkata, berdasarkan kajian dilakukan pihaknya pada 2020 mendapati purata sebuah kenderaan dicuri setiap satu jam 15 minit di negara ini.

"Berdasarkan dapatan itu, sebanyak 20 kenderaan dicuri setiap hari pada tahun lalu. Namun, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu hasil kerjasama erat VTREC, polis dan agensi lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 12:38 PM