Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Peniaga baja tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah kepada penjawat awam berjumlah RM30,150, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Lee Soon Teck, 52, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Hokkien di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, Soon Teck didakwa memberi suapan wang tunai berjumlah RM30,150 kepada pembantu penguat kuasa, Muhammad Fithry Hassan yang bertugas di Ibu Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya.

Perkara itu dilakukan sebagai dorongan melepaskan daripada diambil tindakan undang-undang kerana menyimpan baja bersubsidi tanpa lesen di bawah kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di premis di Batu 6, Jalan Baru, Parit Buntar pada jam 10.30 pagi, 8 Oktober 2018.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

PENIAGA baja tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan memberi rasuah kepada penjawat awam. FOTO Balqis Jazimah Zahari
PENIAGA baja tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan memberi rasuah kepada penjawat awam. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Bagi pertuduhan pilihan, pendakwaan dikemukakan atas pertuduhan sama mengikut Seksyen 214 yang memperuntukkan hukuman dipenjara selama tempoh tidak sampai sepuluh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Irfan Arshad.

Nurul Wahida menawarkan wang jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM60,000 mengambil kira pertuduhan serius di bawah Seksyen 17 (b).

Bagaimanapun, Mohd Irfan memohon wang jaminan dikurangkan berikutan tertuduh yang sudah berkahwin menanggung empat anak yang masih belajar selain ibunya baru meninggal dunia dan bapa yang mengalami penyakit diabetis dan kurang penglihatan.

Indra Nehru membenarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Taiping sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 22 Julai hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 12:14 PM