Seorang penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Seorang penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Seorang pegawai kerajaan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,560, kira-kira tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Shah Nizam Abdul Aziz, 35, yang juga Setiausaha Majlis Daerah Selama (MDS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mohd Shah Nizam didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan untuk mendapatkan suapan apabila melantik syarikat NMS Usaha Enterprise bagi pembekalan sabun dan peluntur ke Rumah Rehat Majlis Daerah Selama.

Beliau didakwa menerima wang suapan RM1,030 melalui baucer bayaran kerajaan daripada pemilik syarikat NMS Usaha Enterprise, Nur Maizatul Adawiyah Mohamed yang juga adik iparnya pada 9 Jun 2017.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Shah Nizam didakwa menerima wang suapan RM530 melalui baucer bayaran kerajaan daripada Nur Maizatul pada 28 September 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin dan tertuduh diwakili peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Nurul Wahida memohon tertuduh dikenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, sebulan sekali.

Bagaimanapun, Amir Khusyairi memohon jaminan dikurangkan kepada RM8,000 bagi setiap pertuduhan kerana tertuduh sudah berkahwin dan menanggung tiga anak berusia empat hingga lapan tahun.

"Selain itu, tertuduh perlu menjaga ibu bapa yang sudah uzur, selain isteri tertuduh yang bekerja sebagai peniaga juga tidak mempunyai pendapatan tetap," katanya.

Indra Nehru mengarahkan tertuduh diikat jamin RM14,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan sebulan sekali.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 2:59 PM