Nurul Amanina Suhaini

Kota Tinggi: "Penguat semangat saya ialah ibu bapa. Ibu, Nor Kamisah Maron, 49, juga mempunyai masalah pendengaran," kata Rahmat Anuar, orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan bisu yang mencari rezeki sebagai penghantar makanan dan penjaga loji air di Kampung Sungai Tiram, di sini.

Rahmat, 26, berkata, dengan kudrat yang ada, dia akan pastikan sekurang-kurangnya memperolehi pendapatan harian supaya rancangan mengusahakan dusun buah-buahan bersama ibu bapa di Felda Adela tercapai.

Dia yang ditemubual dengan bantuan penterjemah bahasa isyarat, Syed Muazzam Shah Putra Syed Jaafar berkata, antara cabaran yang dihadapinya ialah lokasi tidak wujud, tersalah pesanan dan masalah komunikasi.

RAHMAT memeluk ibunya, Nor Kamisah. FOTO Nurul Amanina Suhaini
RAHMAT memeluk ibunya, Nor Kamisah. FOTO Nurul Amanina Suhaini

Menurutnya, tidak pernah terdetik di hatinya untuk marah walaupun dia boleh faham pergerakan bibir apabila ada yang memarahinya sekiranya penghantaran lewat.

"Saya juga menghargai kepada pelanggan yang cuba berkomunikasi dengan saya menggunakan bahasa isyarat," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Kota, di sini.

Menurutnya, selepas tamat belajar kemahiran elektrikal di Shah Alam, dia bekerja di loji air sejak 2015 sehinggalah berlaku penularan Covid-19 menyebabkan gajinya dikurangkan.

"Rakan tolong saya membuat pendaftaran sebagai penghantar makanan. Sejak Julai tahun lalu, saya mula membahagikan masa iaitu waktu siang membuat penghantaran, malam pula menjaga loji bermula jam 7 malam hingga 7 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 11:24 AM