BOMBA melakukan kerja menyelamatkan mangsa yang tersepit. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA melakukan kerja menyelamatkan mangsa yang tersepit. FOTO Ihsan Bomba
Ruwaida Md Zain


Klang: Seorang wanita maut, manakala rakannya terselamat apabila kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit di Jalan Sungai Puloh, Persiaran Batu Belah di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan mendapati, ketika kejadian, mangsa yang berusia 35 tahun bersama rakan lelaki dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Puchong selepas mencari alat ganti kenderaan di Klang.

"Dalam kejadian 2.20 pagi itu, Nissan Serena yang dipandu rakan lelaki mangsa datang dari arah Lorong Sungai Puloh menghala ke Persiaran Batu Belah.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan semasa melalui selekoh tajam ke kanan dan melanggar pokok di hadapan, lalu terbabas ke dalam parit.

"Akibat kemalangan itu, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan dipercayai lemas kerana tersepit di dalam kenderaan.

"Mangsa dikeluarkan oleh bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Vijaya Rao berkata, pemandu berjaya dikeluarkan dari kenderaan dan mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.

"Mangsa wanita yang maut akan dibedah siasat selepas keputusan saringan Covid-19 diperolehi.

"Pihak polis juga sedang mengesan keluarga mangsa untuk memaklumkan kejadian ini," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati, lokasi kejadian gelap tidak berlampu dan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Sehingga kini belum ada saksi yang tampil. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya yang menerima panggilan pada jam 2.23 pagi segera bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa.

"Bomba mengambil mangsa kira-kira 30 minit untuk menyelamatkan dan mengeluarkan mangsa kerana kenderaan terbabit tenggelam.

"Mangsa disahkan maut oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia dan diserahkan kepada polis. Rakan mangsa dipercayai dikeluarkan sebelum bomba tiba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 9:22 AM