Kelihatan papan tanda Jom Daftar Vaksin semasa ‘Program Kesedaran Vaksinasi Kepada Komuniti' Peringkat Negeri Terengganu 2021 di KTCC Mall. FOTO NSTP
Kelihatan papan tanda Jom Daftar Vaksin semasa ‘Program Kesedaran Vaksinasi Kepada Komuniti' Peringkat Negeri Terengganu 2021 di KTCC Mall. FOTO NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Proaktif turun padang memberi pemahaman dan penerangan kepada masyarakat jika mahu menarik lebih banyak pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Itu penjelasan Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berikutan ada golongan masyarakat di negara ini masih tidak memahami dan ragu dengan keberkesanan vaksin dalam mencegah pandemik itu.

"Memang pendaftaran vaksin pada masa ini masih di tahap rendah kerana orang tidak berapa faham dan masih ada keraguan tentang keberkesanan serta kesan sampingan apatah lagi hasutan kempen kumpulan anti vaksin yang mengelirukan lagi orang ramai untuk mengambil vaksin.

"Ada juga sukar mendaftar menerusi platform disediakan kerana tiada akses Internet dan aplikasi serta kekangan ke pusat pendaftaran.

"Selain itu, sikap orang kita suka tunggu dan lihat dulu daripada mendaftar awal juga antara maklum balas yang kami terima ketika turun ke lapangan," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, kerajaan perlu bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendekati masyarakat di lapangan bagi meningkatkan jumlah pendaftaran PICK.

"Jika kita hendak tunggu orang mendaftar melalui platform sedia ada memang akan sukar mencapai jumlah sasaran yang dimahukan.

"Jadi, kerajaan perlu lebih proaktif turun padang bekerjasama dengan NGO adakan kempen kesedaran dan memberi lebih pemahaman kepada masyarakat dan terus buka kaunter pendaftaran.

"Kaedah ini lebih berkesan kerana orang hendak bertanya dan tahu jawapan terus berbanding platform sedia ada yang mungkin terdapat kekangan dan lewat maklum balas," katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mendedahkan jumlah pendaftaran PICK hanya 7.6 juta iaitu kira-kira 30 peratus daripada 26.7 juta rakyat Malaysia.

Jumlah itu, jauh lebih rendah berbanding sasaran ditetapkan iaitu 70 hingga 80 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 5:42 PM