Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kawalan di pintu sempadan negara diperketatkan bagi memastikan tiada cubaan ahli kumpulan jenayah terancang, Geng Nicky untuk melarikan diri.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, gambar semua penjenayah itu juga sudah diedar kepada pasukan mengawal sempadan terutama Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Semua anggota dan pegawai PGA di sempadan sudah diberikan arahan untuk membuat pemantauan terhadap kes ini supaya cubaan keluar ke sempadan mengikut jalan tidak sah dapat dibanteras.

"Dengan gambar yang diedar, anggota sudah diminta berwaspada setiap masa," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Rahim berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dalam proses mendapatkan senarai nama 34 pegawai dan anggota polis yang didakwa bersekongkol dengan kumpulan itu yang didalangi ahli perniagaan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Katanya, mana-mana kakitangan yang terbabit berdepan tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah.

"Kita berkehendakkan pegawai serta anggota yang bertugas dengan penuh integriti. Sesiapa yang terbabit dengan perkara ini, akan menghadapi tindakan sama ada mahkamah atau di bawah JIPS," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kerajaan mempertimbangkan penggunaan alat teknologi untuk membantu PGA mengekang aktiviti penyeludupan di sempadan termasuk di Sabah dan Sarawak, selain tambah baik prasarana bangunan.

"Untuk mengawal keseluruhan sempadan tidak memadai dengan jumlah keanggotaan sedia ada sahaja, jadi kerajaan perlu bantu kita dari segi teknologi, mungkin dron, satelit dan sebagainya," katanya.

Terdahulu beliau merasmikan bangunan pentadbiran utama Batalion 8 PGA di Pengkalan Chepa, di sini yang dibangunkan semula sejak 2007 dan siap sepenuhnya pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 3:45 PM
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar ketika hadir pada Majlis Perasmian Batalion 8 Pasukan Gerakan Am  di Padang Kawad Batalion 8 PGA, Pengkalan Chepa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar ketika hadir pada Majlis Perasmian Batalion 8 Pasukan Gerakan Am di Padang Kawad Batalion 8 PGA, Pengkalan Chepa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR