GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Lima pemuda yang menunggang motosikal dengan lagak ala 'Superman' mengundang padah apabila mereka terpaksa bermalam dalam lokap selepas dicekup polis dalam operasi di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), awal pagi hari ini.

Dalam operasi yang berakhir 1 pagi itu, kelima-lima lelaki berusia 19 hingga 22 tahun itu didapati berlumba sesama sendiri dengan melakukan aksi berbahaya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis mengadakan operasi pada setiap hujung minggu bagi membanteras kegiatan rempit hingga menemui lima pemuda berkenaan yang menunggang motosikal hingga boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna lain.

"Mereka didapati berlumba sesama sendiri dari arah Plaza Tol Bagan Ajam menghala ke pusingan-U Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT).

"Polis yang melakukan pemerhatian terhadap mereka kemudiannya menahan suspek ketika mereka berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam arah Sungai Dua," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, sepanjang tiga minggu pihaknya melakukan Op Samseng Jalanan di kawasan itu, seramai 46 individu ditahan kerana berlumba haram.

Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 3:19 PM