Caption<TIGA kanak-kanak yang ditemui selepas pihak polis melakukan serbuan di sarang penagihan dadah di Bukit Botak, Pendang, hari ini. FOTO Zuliaty Zilkiffli
Caption<TIGA kanak-kanak yang ditemui selepas pihak polis melakukan serbuan di sarang penagihan dadah di Bukit Botak, Pendang, hari ini. FOTO Zuliaty Zilkiffli
Zuliaty Zulkiffli


SEORANG lelaki bertindak membawa dua anaknya berusia dua dan lima tahun demi kepentingan diri bagi melepaskan gian di sarang penagihan dadah di Bukit Botak, Kampung Charuk Kudong, Pendang, hari ini.

Bagaimanapun, perbuatannya mengundang padah apabila dia bersama 29 penagih dadah termasuk dua tokan ditahan dalam serbuan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pendang.

Namun, sepasang anak lelaki itu kemudian diserahkan kepada isterinya yang datang ke sarang penagihan dadah itu selepas dimaklumkan pihak berkuasa mengenai penangkapan suaminya yang positif heroin itu.

Suspek mendakwa datang ke port itu dengan menunggang motosikal sejauh 10 kilometer dari rumahnya pada 10 pagi bersama dua daripada empat anaknya disebabkan tiada siapa menjaga mereka.

Katanya, dia sudah lama menagih dadah, tetapi tidak diketahui isterinya sehinggalah terdedah akhirnya apabila wanita itu dimaklumkan oleh polis.

Selain itu, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dipercayai anak salah seorang penagih berusia 35 tahun turut ditemui di lokasi itu dan terpaksa menemani bapanya untuk menagih di port berkenaan.

Caption<ANTARA lelaki disyaki penagih dadah yang ditahan dalam serbuan di Bukit Botak, Pendang, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Caption

Ketua Polis Daerah Pendang Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, anggotanya menyerbu kebun kelapa sawit dikenali sebagai port mandu di Kilang Kechil, Pendang bermula jam 6 pagi hingga 1 tengah hari.

Katanya, selepas beberapa serbuan di kawasan itu, kebanyakan penagih dikatakan beralih ke Bukit Botak untuk melepaskan gian, namun akhirnya diserbu polis, hari ini.

“Hasil daripada serbuan di kawasan itu, polis menahan 30 lelaki disyaki penagih dadah berusia 20 hingga 53 tahun di kawasan itu manakala di port mandu pula hanya enam orang ditahan termasuk dua daripadanya penagih, tiga pengedar dan seorang daripadanya memiliki dadah.

“Polis merampas sebanyak 28.43 gram heroin bernilai RM840 manakala syabu pula sebanyak 0.38 gram bernilai RM20, selain 5.30 gram dadah jenis heroin bernilai RM150 dalam serbuan di dua lokasi itu,” katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 6:23 PM