Shah Alam: Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan PKT Logistics Group Sdn Bhd dimeterai semalam, dilihat dapat melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi khususnya dalam bidang logistik, pergudangan dan perniagaan antarabangsa.

Dekan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Prof Dr Zaini Abdullah berkata, kerjasama itu membolehkan warga UiTM termasuk penuntut menjalani proses kajian, penyelidikan, pembelajaran, pengajaran dan latihan industri bersama syarikat logistik berkenaan.

Katanya, MoU berkenaan sangat praktikal dengan perkembangan bidang logistik di negara ini yang dilihat menjadi tunggak kepada rantaian bekalan untuk merangsang perdagangan, memudahkan kecekapan perniagaan dan pertumbuhan ekonomi semasa.

“Perjanjian itu juga akan menggalak dan mempromosikan kerjasama membabitkan latihan industri, perkhidmatan logistik, penyelidikan dan juga seminar membabitkan fakulti ini dengan PKT.

“Program ini praktikal kerana kita tidak mahu melahirkan penuntut yang hanya cekap ilmu teori saja tetapi turut menguasai latihan pekerjaan sebenar,” katanya ketika ditemui selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UiTM dan PKT di One Logistics Hub di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan PKT Datuk Michael Tio dan Pengerusi Kumpulan Datuk Wira Jalilah Baba.

Sementara itu Tio berkata, melalui kerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT), PKT melihat potensi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab logistik bagi komuniti ekonomi ASEAN.

“Menerusi perjanjian ini juga, kami merancang mengembang dan membangunkan sistem logistik Malaysia bagi memantau proses perkhidmatan berkaitan rantaian produk selain memberikan pendedahan awal kepada pelajar berhubung tatacara bekerja dalam industri sekali gus memainkan peranan dalam membantu pertumbuhan ekenomi negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 7:12 AM