DATUK Seri Shahidan Kassim. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
DATUK Seri Shahidan Kassim. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan mengkaji semula potensi kira-kira 20 projek di bawah perbadanan itu yang telah atau akan ditamatkan agar boleh dibangunkan berdasarkan konsep bersesuaian dengan keperluan semasa.

Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, inisiatif itu dirancang untuk merancakkan sektor pembinaan dan pasaran perumahan.

"Pada 2019, PR1MA melalui proses rasionalisasi sebagai sebahagian daripada Pelan Transformasi PR1MA.

"Hasil proses ini, daripada 94 projek yang ditandatangani perjanjian, 32 projek telah atau akan ditamatkan," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau memaklumkan setakat 31 Mac, PR1MA mempunyai 62 projek bernilai kira-kira RM14 bilion yang sedang dijalankan di seluruh negara.

Menurutnya, sebanyak 20,587 unit siap dibina, 24,756 unit dalam pembinaan manakala 7,420 unit masih dalam perancangan.

"PR1MA akan memberikan perhatian khusus terhadap projek yang sedang dalam pembangunan, namun mengalami kelewatan seperti Residensi Tebrau dan Melaka Tengah 2.

"Projek Residensi Tebrau kini dalam proses memberikan milikan kosong dan akan diserah selewat-lewatnya pada 30 April ini manakala projek Melaka Tengah 2 pula dalam proses melantik kontraktor penyelamat," katanya.

Shahidan berkata, PR1MA terus mencari kaedah penyelesaian untuk membantu golongan sasaran memiliki rumah khususnya dalam tempoh ekonomi mencabar termasuk melalui pengenalan Skim Rent To Own.

Beliau berkata, PR1MA kini memperhalusi terma serta mekanisma pelaksanaan skim itu sebagaimana yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2021 dan ia dijangka dilancarkan pada Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 10:03 PM