LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: "Alhamdulillah, sejak kisah kami tujuh beradik disiarkan Harian Metro, ramai yang menghubungi serta membantu. Keprihatinan mereka membuatkan saya menjadi lebih bersemangat untuk menjaga adik-adik," kata Nurallesyah Balqis Mohd Azman.

Nurallesyah Balqis, 17, adalah anak sulung daripada tujuh beradik yatim piatu.

Mereka menumpang kasih dengan ibu dan bapa saudara di Kampung Bahagia di sini.

Bapa mereka, Mohd Azman Tabri, 42, meninggal dunia pada Ogos 2019 manakala ibu, Noor Suidah Omar, 43, pula meninggal dunia 2 Jun lalu.

Nurallesyah Balqis berkata, dia terharu kerana kisah mereka mendapat perhatian ramai dan menghargai setiap bantuan yang diberikan.

"Kami menerima banyak panggilan telefon daripada pihak yang prihatin dari seluruh negara termasuk seorang wanita yang berkerja di Singapura.

"Saya berterima kasih kepada semua yang sudi membantu dan memberi semangat kepada kami adik-beradik. Mereka ini termasuk wakil rakyat kawasan serta semua pihak yang sebelum ini membantu selepas ibu meninggal dunia," katanya dihubungi hari ini.

Menurut Nurallesyah Balqis, dia mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menunaikan impian arwah ibu dan ayah yang mahu saya serta adik menamatkan pelajaran seterusnya mempunyai pekerjaan yang bagus," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan, Nurallesyah Balqis tetap akan bersama-sama dengan adiknya, Nur Alleyana Darwina, 14, Nurallesyazwani Sofea, 12, Nurallyqalesyah Damia, 10, Nurallyfarisyah Najwa, 8, Nurallyshafirah Umairah, 6, dan Muhammad Harraz Erfan, 4.

Dia tidak mahu berpisah dengan adik-beradiknya walaupun ada yang mahu menjadikan mereka anak angkat.

Keluarga arwah ayah serta ibu mereka juga berjanji akan menjaga tujuh beradik berkenaan dengan sebaik mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 5:45 PM