AWANG Din 73, bersama cucunya, Siti Umairah Saharuddin 13 (kanan) menunjukkan ucapan 'Terima Kasih' selepas selesai proses pendaftaran secara dalam talian bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Felda Panching Utara, Kuantan. Warga emas serta orang kurang upaya (OKU) dan kumpulan yang mempunyai penyakit kronik akan menerima suntikan vaksinasi pada fasa kedua, dimana ia akan dijalankan bermula 19 April ini dan pihak kerajaan mensasarkan seramai 9 juta orang akan menerima vaksin ini. FOTO Farizul Hafiz Awang

BERNAMA

Dungun: Kira-kira dua juta penduduk di kawasan luar bandar telah mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Bagaimanapun beliau berkata, jumlah itu hanya mewakili satu pertiga daripada penduduk luar bandar dan pihaknya sedang berusaha memastikan baki dua pertiga lagi penduduk yang layak, mendaftar sebagai penerima suntikan vaksin.

"Sebanyak 191 Pusat Komuniti Desa di seluruh negara kini berperanan membantu penduduk di luar bandar mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19. Senarai nama yang didaftarkan itu kami akan hantar kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan seterusnya.

"Kami telah minta agensi-agensi di bawah kementerian seperti Risda (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah), Felcra (Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan) dan Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat), untuk membantu penduduk luar bandar mendaftar, kerana kami faham ada dalam kalangan mereka mengalami masalah seperti ketiadaan gajet atau internet untuk mendaftar melalui MySejahtera," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), di Balai Orang Ramai Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini hari ini.

Dalam pada itu Abdul Rahman turut menyeru pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk turun ke kawasan luar bandar, bagi bersama-sama membantu kerajaan mendapatkan lebih ramai penduduk mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.

ABDUL Rahman (kanan) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada kakitangan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Nor Shuhada Mohamad (kiri). Seramai 31 pegawai dan kakitangan Ketengah menerima APC atas perkhidmatan cemerlang mereka sekaligus dapat menjadi contoh kepada kakitangan lain untuk terus berdaya saing. FOTO Bernama

Dalam perkembangan lain Abdul Rahman berkata Muzium Perlombongan Bukit Besi di sini, yang menempatkan pelbagai koleksi barangan dan artifak berkaitan aktiviti perlombongan bijih besi di bandar Bukit Besi pada suatu ketika dahulu, akan dibuka kepada orang ramai Jun ini.

"Pengunjung akan dikenakan bayaran pada kadar perpatutan untuk masuk ke muzium itu, kerana kami perlu tanggung kos penyelenggaraan, pemilihan artifak dan sebagainya," katanya.

Terdahulu, majlis hari ini menyaksikan 31 pegawai dan kakitangan Ketengah menerima APC atas prestasi cemerlang mereka sepanjang tahun 2020.

Turut hadir Pengerusi Ketengah Datuk Razali Idris dan Pengurus Besar Ketengah Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 7:53 PM