Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Mulai hari ini, seramai 300 sukarelawan digerakkan rumah ke rumah di Terengganu dan tempat tumpuan awam, bagi membantu orang ramai terutama warga emas mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, sukarelawan itu terdiri daripada gabungan badan bukan kerajaan (NGO) yang dilancarkan semalam, sebagai inisiatif dalam meningkatkan kadar pendaftaran vaksin yang masih rendah di negeri itu.

"Warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit, tidak aktif di luar, (dan) mereka hanya tinggal di rumah serta kurang mendapat maklumat (mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Jadi sukarelawan daftar vaksin Covid-19 ini akan (bergerak) ke rumah-rumah dan tempat tumpuan awam untuk bantu mereka daftar secara terus melalui dalam talian.

"Masyarakat diharap dapat memberi kerjasama jika sukarelawan ini datang ke rumah dan jika ragu-ragu dengan kehadiran mereka, boleh minta mereka tunjukkan kad pengesahan sukarelawan kerana setiap mereka diberi kad itu," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing 11 di sini, hari ini.

AHMAD Samsuri (kiri) bersama Dr Alias Razak semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing 11. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Samsuri (kiri) bersama Dr Alias Razak semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing 11. FOTO Ghazali Kori

Selain itu, Dr Alias berkata, pihaknya juga membuka kaunter pendaftaran di pasar awam, pasar raya, pasar malam dan pasar pagi bagi memberi penerangan serta membantu masyarakat bagi tujuan itu.

Menurutnya, kerajaan negeri menjangkakan usaha berkenaan dapat meningkatkan jumlah pendaftaran bagi vaksin Covid-19 sehingga 60 peratus sekali gus menjayakan PICK.

Selain itu, katanya, agensi seperti pejabat daerah dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) ada membantu memberi penerangan mengenai vaksin Covid-19.

Terengganu dilaporkan antara negeri yang merekodkan jumlah pendaftaran penerima vaksin Covid-19 terendah di negara dengan 193,911 orang sehingga 27 Mac lalu.

GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 5:00 PM