Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Sebanyak 1,055 kes penderaan kanak-kanak direkod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Jun lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, 578 kes daripada kes itu adalah penderaan fizikal, 417 kes penderaan seksual dan 60 kes adalah penderaan emosi.

Katanya, 706 kes membabitkan kanak-kanak perempuan dan 349 kes kanak-kanak lelaki.

"Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), 1,348 kes seksual kanak-kanak direkod dalam tempoh sama termasuk kes rogol berkumpulan, sumbang mahram, seks luar tabii dan cabul.

"Selain itu, eksploitasi seksual secara dalam talian terhadap kanak-kanak dilihat semakin meningkat terutama kesalahan pornografi.

"Trend ini tidak sihat memandangkan pendedahan kepada bahan pornografi boleh mendorong kepada ketagihan seks dan akhirnya membawa kepada perlakuan seksual," katanya selepas merasmikan Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak Peringkat Kelantan di sini, hari ini.

SITI Zailah (kiri) beramah mesra dengan peserta Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak Peringkat Kelantan, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa.
SITI Zailah (kiri) beramah mesra dengan peserta Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak Peringkat Kelantan, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa.

Dalam pada itu, Siti Zailah berkongsi kebimbangan terhadap peningkatan kadar penggunaan internet bagi kanak-kanak berumur lima hingga 17 tahun, yang boleh mendorong kepada capaian bahan tidak bermoral jika tanpa kawalan.

Katanya, peningkatan sebanyak 65 peratus yang mana penggunaan internet golongan itu melebihi sembilan jam sehari, berbanding pada 2018.

Ia turut disokong tinjauan dilakukan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), yang menunjukkan tahap kesedaran kawalan ibu bapa terhadap penggunaan internet anak mereka menurun 62.5 peratus pada 2018 kepada 53.3 peratus pada 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 2:01 PM